Saturday, November 27, 2010

ROSELLE - PENGENALAN



ROSELLE ataupun juga dipanggil Asam Paya, Asam Kumbang dan Asam Susur merupakan tumbuhan daripada spesies Hibiscus Sabdariffa L. Roselle mempunyai keluarga yang sama dengan Bunga Raya (Hibiscus Rosasinensis). Tumbuhan Roselle dikatakan berasal dari India tetapi ada juga pendapat yang mengatakan Roselle berasal dari Afrika Barat. Tumbuhan Roselle ini mula diperkenalkan di Malaysia sejak lebih tiga kurun yang lampau. Di Indies Barat ia dipanggil Jamaican Sorrel.
Pokok Roselle boleh tumbuh daripada biji benih atau keratan dengan ketinggian yang boleh mencapai sehingga 3–5 meter serta mengeluarkan bunga hampir sepanjang tahun. Bunga Roselle berwarna cerah, salut bunga atau kaliksnya berwarna merah gelap dan lebih tebal jika dibandingkan dengan Bunga Raya biasa. Bahagian bunga Roselle yang boleh diproses menjadi makanan ialah salut bunganya (kaliks) yang mempunyai rasa yang amat masam. Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis hasilan makanan seperti minuman, halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman Roselle.
Daun dan batang muda Roselle boleh juga dimakan sebagai ulam atau salad dan juga sebagai perisa di dalam kuah kari. Sementara itu di Afrika, biji Roselle dimakan kerana dikatakan mengandungi minyak tertentu. Di Sudan, Roselle diproses menjadi minuman tradisional yang dinamakan Karkadeh dan merupakan minuman kebangsaan orang Sudan.
Pokok Roselle adalah sejenis pokok yang mudah ditanam. Cara penanamannya dengan menggunakan biji yang kering kemudian disemai. Satu pokok boleh mengeluarkan buah yang banyak. Pokok ini jenis bercabang-cabang serta tahan lama. Cara penjagaannya pula amatlah mudah jika cuaca panas ia memerlukan banyak air, dan pembajaannya adalah setengah bulan sekali.
Kegunaan Roselle
Kaliks atau kelopak buah Roselle yang berwarna merah kaya dengan Vitamin A dan C serta Zat Mineral. Dengan menjadikannya sebagai teh ubatan, herba ini dapat membantu mempercepatkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah tinggi di samping memberi kesan awet muda. Kaliksnya boleh diproses menjadi jem, halwa, jeli, jeruk dan juga pewarna makanan. Pemprosesan biji Roselle boleh dijadikan bahan kosmetik sementara kulitnya pula boleh dibuat tali.